SALAH sebuah rumah lama
di Kampung Dodol, Pulau Pinang yang masih mengekalkan identiti perkampungan
Melayu tradisional.
GEORGETOWN: Persatuan
Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang meminta Kerajaan Persekutuan
mewartakan kawasan Kampung Dodol di Jalan Perak di sini sebagai kampung warisan
sekali gus membangunkannya semula dengan mengekalkan identiti perkampungan
Melayu tradisional.
Presidennya, Abdul Kader
Md. Ali berkata, pengiktirafan sebagai salah sebuah perkampungan yang tertua di
Pulau Pinang seharusnya diberikan memandangkan masih terdapat ramai pewaris
yang menetap di kampung berusia 144 tahun itu sehingga ke hari ini.
Menurutnya yang juga
penduduk asal Kampung Dodol sejak 61 tahun lalu, terdapat banyak pengkisahan
sejarah di perkampungan berkenaan yang dianggarkan meliputi seluas 35 ekar.
“Salah satunya adalah
terdapat lima Tanah Perkuburan Islam yang menempatkan pusara pemilik-pemilik
asal tanah seperti Hashim Yahaya dan Wan Chik Ariffin serta tiga individu lain
yang disemadikan di situ.
“Mengikut rekod, Kampung
Dodol adalah antara lebih 20 buah perkampungan yang masih wujud di Pulau Pinang
(bahagian pulau) daripada jumlah asalnya sebanyak 152 buah kampung. Oleh itu,
kami minta kerajaan Persekutuan mengstrukturkan semula kampung ini dengan
mengekalkan identiti perkampungan Melayu tradisional,” katanya ketika ditemui
Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, dengan
nilai sejarahnya yang tersendiri, Kampung Dodol berpotensi diwujudkan sebagai
sebuah perkampungan tersusun yang dikenali ramai termasuk pelancong asing.
Abdul Kader memberitahu,
perkampungan warisan seharusnya dikekalkan di negeri ini daripada kemusnahan
dek pembangunan moden yang jelas memberi kesan kepada ekonomi dan sosial
penduduk asal umumnya.
Untuk rekod, terdapat sembilan
pemilik asal tanah di kawasan Kampung Dodol dan sebahagiannya telah diwakafkan
seperti Tanah Wakaf Wan Chik Ariffin, Tanah Wakaf Hashim Yahaya dan Tanah Wakaf
Kapitan Keling.
Dianggarkan lebih 1,300 buah rumah yang dihuni kira-kira 7,800 penduduk ketika ini dengan bentuk kediaman jenis kayu, berbumbung atap dan terdapat seni ukiran pada dinding, tiang serta pintu.
--UTUSAN
No comments:
Post a Comment