Wednesday, 30 September 2020

Edar dadah: Penjual santan dihukum gantung


GEORGETOWN: Seorang penjual santan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di George Town selepas didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lepas.

 

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap R.Siva Raman, 48, selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

 

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata keterangan tertuduh tidak boleh dipercayai selain banyak menimbulkan keraguan. 

 

Seramai dua saksi pembelaan dan lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

 

Siva Raman didakwa mengedar kanabis seberat 208.0 gram di hadapan pusat makanan dan minuman di Jalan Rozhan, Alma, Bukit Mertajam pada 8.15 malam, 16 Jan 2018.

 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 15 sebatan jika sabit kesalahan.

 

-BERNAMA

No comments:

Post a Comment