BOT nelayan tempatan yang
disita atas pelbagai kesalahan dekat Pulau Lalang di perairan Bagan Datuk
semalam.
LUMUT: Jabatan Perikanan
Perak menahan dua bot nelayan tempatan dan merampas kira-kira 200 kilogram ikan
pelbagai jenis, atas pelbagai kesalahan dekat Pulau Lalang, perairan Bagan
Datuk dekat sini kelmarin.
Pada masa sama, enam
warganegara Myanmar berusia antara 40 hingga 50 tahun yang bekerja sebagai
awak-awak di dua bot nelayan pukat tunda itu turut ditahan.
Ketua Pangkalan Utama
Cawangan Perlindungan Sumber (CPS)
Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, sitaan dua bot dan hasil tangkapan
ikan tersebut dianggarkan bernilai RM1 juta.
Katanya, tangkapan
dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa yang melakukan rondaan di perairan
berkenaan.
“Dalam pemeriksaan
terhadap bot pertama pada pukul 8.46 pagi kira-kira 0.7 batu nautika dari Pulau
Lalang, tiga lelaki Myanmar ditahan manakala 100 kilogram ikan dirampas.
“Tindakan itu dilakukan
kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu
menggunakan tiga nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah
Perikanan Malaysia, menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter serta tidak
mengusahakan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mansor berkata, tangkapan
kedua dilakukan tidak jauh dari bot pertama iaitu kira-kira pukul 9 pagi pada
jarak 1.1 batu nautika dari Pulau Lalang.
Katanya, dalam
pemeriksaan itu, pihaknya menahan tiga lelaki Myanmar dan merampas 100 kilogram
ikan kerana melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang sama.
Menurutnya, perkara itu
membabitkan kesalahan menggunakan tiga nelayan asing tanpa kebenaran bertulis
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, aiz mata pukat kurang 38 milimeter, tidak
mengusahakan sendiri serta kod zon tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
--UTUSANONLINE
No comments:
Post a Comment