Tuesday 10 December 2019

#Georgetown tipu disamun, 2 pekerja Nasi Kandar direman seminggu

Dua pekerja sebuah restoran nasi kandar yang mereka cerita kononnya disamun bagi melarikan wang hasil jualan restoran terbabit semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 16 Disember itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md Eusoff terhadap dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan India itu.

Semalam, BH melaporkan dua pekerja sebuah restoran nasi kandar sanggup mereka cerita kononnya disamun bagi menutup perbuatan mereka untuk melarikan wang hasil jualan restoran terbabit berjumlah RM122,555.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dilaporkan berkata polis menerima maklumat daripada pekerja restoran itu yang mendakwa disamun ketika dalam perjalanan ke bank di Bukit Jambul untuk memasukkan wang kutipan hasil restoran.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut, katanya, dua pekerja terbabit mengaku kejadian itu tidak berlaku dan cerita mereka disamun hanyalah rekaan semata-mata.

“Wang itu ditemui disembunyikan di dalam sebuah kereta Perodua Kancil.

“Mangsa yang sama juga pernah membuat laporan polis palsu bahawa beliau disamun membabitkan kerugian sebanyak RM74,154 pada 2009,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh didenda enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan, akibat laporan polis palsu itu, polis melakukan sekatan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang untuk mengesan ‘penjenayah terbabit’ sehingga menyebabkan kesesakan trafik luar biasa di Pulau Pinang, petang semalam.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment