Saturday, 2 February 2019

Tolong sembelih kucing di Market Seberang Jaya?

Gambar Hiasan di Tomohon, Indonesia
BUTTERWORTH: “Terketar-ketar tangan saya mendengar permintaan seorang lelaki warga Vietnam yang meminta menyembelih seekor kucing untuknya bagi tujuan dibuat lauk,” kata seorang peniaga daging dikenali sebagai Mamat, 20, selepas diminta seorang lelaki warga asing menyembelih seekor kucing ketika sedang berniaga di Pasar Awam Seberang Jaya di sini, bulan lalu.

 Kejadian menimpa Mamat itu adalah sebahagian daripada dakwaan penduduk di sekitar Seberang Jaya yang menyaksikan sendiri bagaimana seorang lelaki warga asing yang bekerja dan tinggal di kawasan itu memburu kucing dan anjing bagi dijadikan juadah.

 Mamat berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang membantu bapanya menjual daging di pasar berkenaan. “Masa itu kira-kira jam 10 pagi apabila saya ternampak seorang lelaki warga Vietnam datang ke meja jualan kami sambil memegang seekor kucing di tangannya.

 “Lelaki itu menghampiri saya dan bertanya sama ada saya boleh menyembelih kucing untuk dijadikan lauk,” katanya.

 Menurutnya, ketika itu, dia terkejut dengan permintaan berkenaan dan menyangka lelaki itu hanya jenaka. “Saya menolaknya, tetapi lelaki terbabit menawarkan sejumlah wang jika saya sanggup menyembelih kucing itu.

 “Saya kemudian merampas kucing dibawa lelaki itu dan memintanya untuk tidak lagi datang ke pasar itu,” katanya. Mamat berkata, lelaki itu terus beredar dan dia mengambil kucing berkenaan sebelum membawanya pulang ke rumah.

IRENE membelanjakan RM7 setiap hari untuk membeli makanan untuk kucing liar di kawasan Pasar Seberang Jaya. -Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL 

Seorang pencinta haiwan yang sering memberi makan kucing terbiar di pasar itu, Irene Boey Poh Im, 61, berkata, dia tahu jumlah kucing itu kerana setiap hari, lebih tiga jam dia meluangkan masa memberi makan dan merawat kucing yang sakit di pasar ini.

 “Setiap hari akan ada jumlah kucing yang bertambah dan kini jumlahnya semakin berkurangan dengan mendadak dan saya bimbang binatang peliharaan ini ditangkap dan dimakan warga asing,” katanya.

 Menurutnya, dalam tempoh itu, dia ada menerima aduan daripada peniaga yang melihat beberapa individu warga asing datang ke kawasan berkenaan dan bermain dengan kucing di situ.

 “Sejak itu saya melihat jumlah kucing di sini, semakin berkurangan sekitar 20 ekor sahaja berbanding sebelum ini yang mana jumlahnya lebih banyak. “Kawasan pasar ini memang menjadi tempat orang ramai membuang kucing terbiar atau yang berpenyakit,” katanya.

 Irene berkata, dia akan membawa satu kilogram makanan kucing setiap hari untuk diberi kepada kucing-kucing itu. “Kosnya hanya RM7 dan saya juga akan datang pada waktu malam bagi memeriksa kucing-kucing ini. “Saya tidak meminta apa-apa daripada orang ramai, cuma mahu mereka lebih bertimbang rasa sebelum membuang kucing di kawasan ini,” katanya.

 Menurut Irene, nasib kucing di sini sangat menyedihkan, dengan keadaan berpenyakit, mereka juga terdedah dicederakan anjing selain yang paling menakutkan diburu manusia sendiri.
IRENE seorang pencinta haiwan meluangkan masa lebih tiga jam setiap hari memberi makan dan merawat kucing liar. 
Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
“Ini bukan pertama kali saya mendapat tahu perkara menyedihkan ini (makan kucing), malah sebelum ini ketika saya terlibat dalam kumpulan aktivis melindungi anjing, ada juga saya menerima berita mengenai warga asing yang memburu dan memakan anjing.

 “Ketika itu, kawasan yang sering dijadikan tempat warga asing ini memburu anjing adalah di Taman Inderawasih, Taman Arowana dan kawasan sekitar Butterworth,” katanya yang terlibat dalam beberapa persatuan pencinta haiwan di negeri ini.

 Menurutnya, dia ada mendapat tawaran bantuan daripada beberapa persatuan bagi memindahkan kucing-kucing di sini ke pusat penjagaan yang lebih sempurna, namun haiwan ini perlu dirawat terlebih dahulu kerana bimbang ia akan menjangkiti yang lain.

 Katanya, dia sudah menyalurkan maklumat ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri bagi diambil tindakan dan berharap ia dapat diselesaikan dengan segera.

SumbeR : Harian Metro

No comments:

Post a Comment