Saturday, 2 February 2019

Berhati-Hati, Inilah 8 Tabiat Buruk Menyebabkan Sakit Belakang

Menghidap sakit belakang, pasti akan menjejaskan kualiti hidup anda dan membataskan aktiviti seharian anda. Selain dari kesan jangka panjang yang buruk apabila mengambil ubat tahan sakit yang kerap, penghidap sakit belakang juga terpaksa bergantung pada orang lain untuk menjalani kehidupan seharian.

Saya yakin, pasti ramai antara kita mengalami masalah ini. Tahukah anda, kadang kala tabiat buruk anda juga merupakan antara punca sakit belakang ini berlaku? Ketahui 8 tabiat buruk ini dengan membaca artikel ini sepenuhnya. InshaAllah mana-mana tabiat tersebut sekiranya dielakkan, boleh mengurangkan sakit belakang anda.


Tidur Atas Tilam Lama
Tilam yang bagus tahan sehingga 8 ke 10 tahun. Sekiranya anda tidak menukar tilam anda lebih dari 10 tahun, terdapat kebarangkalian untuk tulang belakang anda tidak memperoleh sokongan yang sepatutnya. Gantikan tilam lama anda dengan tilam yang tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Benar, tilam yang bagus sangat mahal. Tetapi apa salahnya berbelanja lebih asalkan tubuh badan anda kekal sihat. Bak kata mak saya, “wang boleh dicari, tetapi bukan kesihatan”.

Mengangkat Barang Berat
Mengangkat barang yang berat, terutamanya untuk wanita boleh menyebabkan ketidakseimbangan pada bahu dan tulang belakang anda. Kaum wanita terkenal dengan suka membawa beg tangan yang berat. Macam-macam diisi. Kadang kala, isi kandungannya tidak masuk akal. Lebih besar beg tangan mereka, lebih banyak barangan yang diisi.

Cuba kurangkan barang yang mahu dibawa dan bertukarlah ke beg tangan yang lebih kecil. Hadkan dengan membawa barang yang betul-betul perlu sahaja. Anda mesti tak mahu sekiranya bahu anda senget sebelah kan? Pasti menjejaskan penampilan.

Memakai Kasut Bertumit Tinggi Atau Kasut Tiada Tumit
Kasut bertumit yang terlalu tinggi untuk anda akan memaksa badan anda melengkung, memberikan lebih tekanan pada sendi anda. Kasut tanpa tumit juga tidak elok untuk anda, bergantung pada jenis kaki anda.

Sandal yang tidak menyokong belakang anda, bukan sahaja merosakkan belakang anda, ia juga mengakibatkan pengagihan berat badan yang tidak sekata pada kaki. Setiap orang mempunyai ketinggian kasut bertumit yang ideal sesuai dengan berat dan ketinggian masing-masing.



Menyimpan Dendam
Kajian mendapati bahawa orang yang pemaaf menghadapi perasaan tertekan, kemarahan, kebencian, dan kesakitan yang kurang berbanding orang yang suka menimpan dendam. Ketahuilah, emosi, ketegangan otot dan pemikiran anda berkadar terus mempengaruhi kekuatan signal sakit pada anda. Menyimpan dendam bukan sahaja tidak elok untuk anda secara fizikal, malah mempengaruhi emosi anda ke arah yang lebih negatif.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan Rasulullah s.a.w kita sebagai contoh. Jangan sekali-kali menyimpan dendam, malah mendoakan yang baik-baik sahaja kepada orang yang berbuat jahat pada kita. InshaAllah hidup kita lebih tenang dan diredhai oleh Allah. Penyakit pun tiada.

Duduk Sepanjang Hari
Berita buruk untuk mereka yang bekerja dihadapan komputer setiap hari! Duduk sepanjang hari kelihatan selesa dan tidak memenatkan. Tetapi tahukah anda, ia sangat buruk untuk kesihatan. Kebanyakan dari kita tidak mengekalkan postur tubuh yang sepatutnya sewaktu duduk dihadapan komputer setiap hari.

Keadaan ini melemahkan otot belakang anda akibat tidak melakukan sebarang aktiviti. Selain itu, duduk juga menyebabkan tekanan pada tulang belakang anda lebih 50 peratus berbanding berdiri! Seeloknya sekali sekala sewaktu bekerja, berjalan atau berdiri seketika untuk mengelakkan sakit belakang. Mesti ada yang suka mendengar fakta ini. Boleh la anda menjadikannya alasan untuk pergi bergosip di meja rakan-rakan kan? Hehe.

Tertekan
Tekanan perasaan adalah masalah yang biasa terutamanya bagi wanita. Ditambah lagi dengan waktu PMS, hormon yang tidak stabil membuatkan emosi sukar dikawal. Tetapi tahukah anda, tekanan perasaan boleh menyebabkan sakit belakang? Sekiranya anda tertekan, seluruh badan anda akan turut tertekan termasuklah otot disekirar leher dan tulang belakang.

Sekiranya anda tidak mampu mengawal tekanan perasaan anda, otot yang tegang tidak dapat berehat dan menyebabkan kesakitan. Jadi sekiranya anda mengalami sakit belakang, cuba rehatkan diri anda. Lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan rasa tertekan tersebut seperti pergi menghirup udara segar, bersenam dan berbual dengan rakan baik. InshaAllah sakit belakang anda akan beransur berkurang.

Tidak Bersenam
enaman membantu dalam membina otot-otot yang boleh menyokong tulang belakang anda. Sekiranya anda penghidap sakit belakang yang kronik, anda pasti sudah biasa dengan fisioterapi.

Fisioterapi juga merupakan salah satu bentuk senaman yang khas untuk membina otot-otot untuk menyokong tulang belakang anda. Doktor anda juga pasti akan menggalakkan anda berenang bagi menguatkan otot belakang.

Oleh itu, kurangnya bersenam boleh menyebabkan otot anda keras atau kejang dan boleh juga menyebabkan disc tulang belakang anda lari. Sungguhpun sibuk, anda sepatutnya meluangkan sedikit masa untuk bersenam. Jangan mencipta seribu alasan.

Makan terlalu banyak makanan ringan
Tidak memeranjatkan, pengambilan makanan yang berkalori tinggi dan kurang nutrien boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Kenaikan berat badan tersebut akan membebankan tulang belakang anda. Berat badan yang berlebihan terutamanya pada bahagian tengah badan boleh menyebabkan tulang pelvis anda tertarik ke atas, mengakibatkan tekanan pada belakang badan.

Individu yang obes mempunyai risiko yang tinggi menghidap osteoarthritis. Mengurangkan berat badan sebanyak 5 hingga 10 peratus boleh mengurangkan masalah sakit belakang anda. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment