Thursday 8 December 2016

Apakah Kerajaan DAP Ketandusan Pelan Tindakan ?


Berlaku insiden yang mencemaskan di Pulau Pinang semalam apabila 2 orang lelaki bertindak mengacukan pisau kepada penguatkuasa apabila barangan milik mereka dirampas dalam satu operasi oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Pasar Awam Taman Berjaya , Nibong Tebal.

Berdasarkan laporan kejadian tersebut berlaku apabila penguatkuasa MPSP merampas sebuah meja, dua buah kerusi dan buah-buahan yang dijual suspek bernilai RM140, kedua-duanya berang dan mereka meminta agar pegawai MPSP mengeluarkan borang untuk merampas barang-barang dikeluarkan namun pegawai terbabit tidak berbuat demikian sebelum menaikkan kesemua barang-barang berkenaan ke atas lori.

Akibat daripada tindakan tersebut kedua-dua lelaki terbabit bertindak naik ke atas lori MPSP dan mengacukan pisau ke arah penguatkuasa MPSP sebelum menurunkan semula barang niaga milik mereka.

Ekoran daripada tindakan terbabit kedua-dua lelaki berusia 28 dan 38 tahun itu diberkas.

Tidak ada sesiapa sebenarnya yang boleh menidakkan undang-undang yang telah tersedia dan selagi mana seseorang itu berada dalam negara Malaysia maka mereka perlu patuh dan menghormati undang-undang berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan negara.

Cumanya PenangKini melihat dalam keadaan tertentu di Pulau Pinang agak sedikit berbeza !

Bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi jika undang-undang menjadi asas kepada semua tindakan maka ia haruslah lebih bersifat matang dan jujur.

Bukan terarah kepada kumpulan tertentu sahaja memandangkan di Pulau Pinang semenjak 2008 yang lalu sudah berkali-kali rungutan disuarakan terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang supaya tidak mengamalkan "double standard" dalam melaksanakan satu-satu tindakan mahupun penguatkuasaan.

Bahkan dasar yang dipraktikkan seolah-olah menghukum satu pihak sedangkan pihak yang lain bukan sahaja dibiarkan tetapi mendapat keistimewaan sehingga ada jalan-jalan tertentu di Pulau Pinang ditutup semata-mata untuk memberi laluan (penjaja) untuk menjalankan perniagaan mereka tanpa perlu memohon gerai-gerai milik Majlis Perbandaran.

Dalam insiden yang berlaku semalam , 2 lelaki terbabit sememangnya melanggar undang-undang tetapi dengan nilai jualan buah-buahan yang hanya RM140 , apakah wajar tindakan sedemikian diambil ?

Apakah tidak ada lagi budi bicara atau pelan tindakan daripada pihak terlibat mahupun kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membantu mereka-mereka yang sebegini ?

DAP dan sekutunya sering mencemuh dasar-dasar kerajaan BN apabila memperkenalkan skim dan bantuan perniagaan untuk membantu para peniaga tetapi hakikatnya mereka (kerajaan DAP Pulau Pinang) sendiri tidak punya sebarang perancangan ke arah itu.

Dan kerana itulah insiden sebegini akan terus berlaku dan berlaku di Pulau Pinang !

No comments:

Post a Comment