Wednesday 7 December 2016

Apa Jadi Kerja Baik Pulih Bangunan Terbiar Pulau Pinang ?


Pemuda Gerakan Pulau Pinang mempersoalkan kemajuan projek kerajaan negeri membaik pulih bangunan terbiar di sepanjang Lebuh Victoria dan Lebuh Kimberly di Pulau Pinang.

Penolong setiausahanya, Loh Kit Mun berkata sehingga hari ini, tidak nampak ada sebarang kemajuan terhadap projek itu.

Menurutnya sebelum ini kerajaan negeri berjanji untuk membaik pulih bangunan tersebut dan menjadikannya pusat bagi peniaga tradisional dan industri kreatif pada penghujung tahun ini.

“Pada 6 Jun lepas, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membelanjakan RM9.7 juta untuk kerja membaik pulih bangunan terbiar di sepanjang Lebuh Victoria.

“Selain itu, pada 7 Feb 2015, kerajaan negeri juga berjanji membaik pulih enam rumah pra-perang di Lebuh Kimberly bagi digunakan peniaga tradisional untuk meneruskan perniagaan mereka,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Katanya ketika ini mereka tidak tahu sama ada rancangan membaik pulih itu telah ditunda atau dibatalkan kerana tiada sebarang makluman atau berita mengenai kemajuan projek tersebut.

Loh berkata kerajaan negeri berjanji untuk menjadikan bangunan di Lebuh Victoria sebagai Pusat Perniagaan Tradisional dan Industri Kreatif serta akan membuka tender pada Julai tahun ini.

“Enam bulan sudah berlalu, masih tiada makluman mengenai projek itu daripada kerajaan negeri mahupun PDC,” katanya.

Beliau juga berkata ramai peniaga tradisional menanti untuk dipindahkan ke bangunan itu bagi meneruskan perniagaan mereka.

“Ia tidak cukup dengan hanya menganjurkan pesta kebudayaan, sebaliknya kerajaan negeri perlu menyediakan rancangan konkrit dan cadangan mengekalkan perniagaan tradisional,” katanya.

No comments:

Post a Comment