Thursday 8 December 2016

Visa haji & umrah kekal

Kementerian Luar menafikan laporan mengenai pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi yang tersebar di media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi sudah menyemak perkara itu dengan Kementerian Luar Arab Saudi dan sehingga 6 Disember lalu, tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara tersebut.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan tiada arahan terkini yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi merujuk kepada pembatalan kadar baharu visa negara itu yang berkuat kuasa 1 Muharram 1437H bersamaan 2 Oktober 2016.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak mudah percaya kepada maklumat belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan kekeliruan.

Kementerian itu berkata, jika ada sebarang perubahan, ia akan diumumkan kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi kerajaan negara itu.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan sebelum ini dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktur kadar visa baharu itu ialah kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma, tetapi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (RM2,150).

No comments:

Post a Comment