Tuesday, 31 May 2016
SPPP juga tidak terima maklumat terowong dasar laut
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) masih belum menerima sebarang maklumat lengkap berhubung cadangan pembinaan terowong dasar laut atau jambatan ketiga seperti dirancang kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan Pusat tidak diberi sebarang maklumat atau pemberitahuan mengenai projek terbabit termasuk jenis pembangunan sebenar yang hendak dibina dalam projek terbabit.
“Tiada sebarang maklumat diberikan kepada saya atau SPPP termasuk apakah struktur sebenar yang hendak dibina? Apakah terowong dasar laut atau jambatan ketiga sebagai alternatif,” katanya kepada media selepas lawatan kerja sehari ke SPPP di Terminal Cruise Swetternham Pier di Pulau Pinang.
Menurut Tiong Lai, biar apa pun perancangan kerajaan negeri, kerajaan Pusat mahu maklumat lengkap mengenai projek itu dimaklumkan terlebih dahulu bagi memastikan operasi perlabuhan dan dasar laut di kawasan berkenaan tidak terjejas.
Setakat ini katanya hanya kertas cadangan berhubung pembinaan
kereta kabel merentasi laut menghubungkan pulau dan tanah besar negeri ini diterima SPPP daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, menurut beliau, cadangan itu ditolak kerana jajaran yang dikemukakan bakal memberi kesan kepada operasi pelabuhan dan menyukarkan kapal-kapal bergerak dan berlabuh.
Katanya, sekiranya kerajaan negeri bertegas mahu meneruskan cadangan projek kereta kabel itu, penelitian lanjut akan dijalankan termasuk mengenakan syarat tertentu.
“Kerajaan negeri mesti mematuhi syarat-syarat daripada Jabatan Laut jika projek ini mahu diteruskan demi menjamin kelangsungan operasi Pelabuhan Pulau Pinang yang memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof juga mendedahkan pihaknya tidak pernah menerima cadangan pembinaan terowong bawah laut daripada kerajaan Pulau Pinang atau Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Kenyataan itu susulan dakwaan Guan Eng bahawa kerajaan Pusat kebiasannya menolak cadangan daripada kerajaan Pulau Pinang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment