Wednesday, 1 June 2016

Tindakan Tambak Laut Di Balik Pulau Bakal Pendapatan Lebih 1500 Nelayan



Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Helmi Yahya membantah sekeras-kerasnya perancangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu menambak kawasan selatan laut di Balik Pulau di mana sekiranya perancangan tersebut direalisasikan, maka ia akan menyebabkan lebih 1500 orang nelayan di kawasan itu akan kehilangan mata pencarian mereka selama ini.

Menurut beliau, kawasan yang ingin ditambak oleh kerajaan negeri itu merupakan kawasan yang paling kaya dengan makanan laut seperti ikan, udang dan ketam di Balik Pulau dan merupakan kawasan pembiakan ikan.

“Contohnya jika musim ikan kembong, bukan hanya nelayan di sekitar kawasan ini sahaja yang akan turut ke laut menangkap ikan, tetapi nelayan-nelayan di kawasan lain juga akan turun ke kawasan tersebut untuk menangkap ikan.

“Kawasan itu juga terlindung daripada musim tengkujuh yang membuatkan kawasan tersebut sentiasa akan mempunyai ikan,  tidak seperti mana kawasan-kawasan lain yang seringkali terjejas apabila datangnya musim tengkujuh.

“Maka sebab itulah kawasan yang ingin ditambak oleh kerajaan Pulau Pinang itu merupakan kawasan selatan pulau yang menjadi tumpuan para nelayan dan sudah pasti, sekiranya kerajaan negeri melaksanakan perancangan mereka itu maka para nelayan ini akan kehilangan mata pencarian mereka,” tegas beliau.

Katanya lagi,  beliau telah bertemu dengan beberapa pihak untuk berbincang berhubung perkara tersebut termasuklah dengan Perdana Menteri sendiri untuk memastikan bahawa keinginan kerajaan negeri untuk menambak kawasan tersebut tidak akan dibenarkan.

“Ini disebabkan sekiranya pihak kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan perancangan mereka, maka mereka perlulah mendapat kebenaran kerajaan pusat terlebih dulu.  Sebab itu saya telah bertemu dengan Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib benar-benar faham akan masalah yang dihadapi oleh para nelayan di kawasan Balik Pulau ini.

“Beliau telah meminta saya untuk membuat kajian bagimengesahkan bahawa penambakan laut di kawasan tersebut akan mengganggu gugat dari segi geo politik dan akan memberi impak kepada mata pencarian para nelayan tersebut.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau sememangnya tidak bersetuju dan menentang cadangan kerajaan negeri untuk menambak kawasan tersebut dan saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk menghalang kerajaan negeri daripada merealisasikan hasrat mereka itu,” ujarnya

No comments:

Post a Comment