Tuesday, 26 April 2016

UPSI, Nikon Meterai MoU Kukuh Kerjasama Bidang Fotografi


TANJUNG MALIM, (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Nikon (Malaysia) Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha mengukuhkan kerjasama jaringan industri dalam bidang fotografi.

Majlis pemeteraian dokumen itu diadakan di Atrium, Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil, di sini hari ini.

Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa berkata MoU tersebut sebagai mengiktiraf serta meningkatkan hubungan antara universiti itu dengan Nikon dalam bidang fotografi, khususnya dalam bentuk penyelidikan, perkongsian kepakaran, perundingan dan penerbitan.

Beliau berkata UPSI menerusi Jabatan Multimedia Kreatif, Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif menawarkan dua program iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan dan Ijazah Sarjana Muda Animasi.

"Kedua-dua program dibangunkan selaras dengan keperluan pasaran dalam industri kreatif negara yang dilihat semakin rancak berkembang dan maju," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata pelajar bagi kedua-dua program itu akan diterapkan dengan asas fotografi yang mampu memperkasa pelajar ke arah menjadi insan kreatif yang peka terhadap perkembangan serta dinamika global.

Sementara itu, Pengarah Nikon (Malaysia) Sdn Bhd David Ng Choon Yiak berkata MoU itu merupakan permulaan kerjasama ke arah melatih pelajar serta pensyarah mengenai aspek teknikal dalam bidang fotografi dan videografi.

Beliau berkata sejajar dengan visi untuk menarik bakat-bakat muda dan menyemai rasa menghargai yang lebih mendalam dalam bidang ini, Nikon bakal mewujudkan Kelab Fotografi dan Videografi Nikon-UPSI untuk kemudahan pelajar serta kakitangan fakulti.

"Melalui kerjasama strategik ini, ia diharap menjadi platform perkongsian ilmu kepakaran antara pihak Nikon dengan pelajar serta tenaga pengajar di UPSI," kata Ng.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment