Tuesday, 26 April 2016

Peminjam diminta tampil bincang bayaran balik


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Johor menyeru peminjam tampil berbincang untuk menyelesaikan urusan pembayaran balik pinjaman di cawangan-cawangannya di negeri ini.

Pengurus Besar PTPTN Negeri, Aizam Abdul Aziz@Drahaman berkata perbincangan itu perlu untuk memberi pencerahan kepada peminjam.

“Kita tidak dapat membantu selagi peminjam tidak tampil untuk menyatakan apa permasalahan mereka hadapi, kerana kami tidak tahu, setiap orang mesti ada kes berbeza,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Hi-Tea PTPTN bersama Kelab Media Johor (KMJ) pada Isnin.

Katanya, perbincangan itu adalah cara lebih baik daripada mempercayai perkara yang dibaca dalam blog atau yang diviralkan di laman sosial atau cerita dari rakan-rakan.

Aizam berkata, perjumpaan dan perbincangan bersama ini perlu kerana setiap peminjam mempunyai masalah dan kes yang berbeza.

“Contohnya, kita lihat kepada kes…bermakna sekiranya mana-mana peminjam yang belum membuat Ujrah kita menggalakkannya, sebab caj yg dikenakan adalah rendah iaitu satu peratus,” kata beliau.

Katanya, bagi pertukaran Ujrah, peminjam boleh datang bila-bila masa kerana pihaknya telah menyediakan kaunter dan cawangan yang mencukupi di setiap negeri.

Bagi menggalakkan peminjam membayar balik pinjaman, pihaknya juga mengadakan program dan promosi seperti Promosi Ambang Raya PTPTN Johor dan Promosi Cuti-Cuti @JDT PTPTN Johor yang menawarkan hadiah menarik.

Setakat ini seramai 98,588 orang peminjam di Johor mempunyai tunggakan bayaran PTPTN manakala 4,325 peminjam dari negeri ini disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.-

BNBBC

No comments:

Post a Comment