Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn Bhd, anak syarikat Hup Seng Industries Bhd menjamin biskut yang dikeluar dan dipasarkan di Malaysia selamat untuk dimakan, selain menepati kawal selia, standard kualiti dan keselamatan makanan.
Ia susulan laporan hasil penemuan Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) terhadap produk yang dihasilkan oleh pengeluar biskut terkemuka tempatan itu baru-baru ini.
Hup Seng dalam satu kenyataan berkata, sebagai pengeluar makanan yang bertanggungjawab secara sosial sejak 1958, kualiti dan keselamatan produk menjadi keutamaan tertinggi syarikat.
"Kami berterima kasih di atas keprihatinan anda terhadap laporan yang dibuat ke atas produk kami oleh HKCC.
"Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa terhadap siasatan mereka, jika diperlukan.
"Kami dengan ikhlas berterima kasih kepada pelanggan setia dan kakitangan di atas sokongan yang diberikan," katanya.
Laporan dikeluarkan oleh HKCC pada minggu lalu mendapati bahawa 60 sampel biskut dan keropok yang diuji mengandungi elemen mendorong kanser, seperti glycidol atau acrylamide.
Badan pengguna itu juga mendapati bahawa 40 peratus produk yang dianalisis mempunyai label nutrisi mengelirukan.
Harga saham Hup Seng jatuh 2.7 peratus kepada 91 sen pada Jumaat, penurunan tertinggi dalam tempoh dua bulan.
BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment