Wednesday, 1 September 2021

Polis buru suspek pecah pelapik skrin ATM guna topi keledar



Polis memburu seorang individu bagi membantu siasatan pecah pelapik skrin tiga mesin pengeluaran automatik (ATM) milik sebuah bank di Jalan Baru di sini hari ini.

Sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima aduan berhubung kejadian pukul 7 malam tadi.

MalaysiaGazette difahamkan kejadian berlaku di sebelah petang namun tidak diketahui oleh pihak pengurusan bank susulan hari ini cuti Hari Kemerdekaan dan mereka tidak beroperasi.

Pemeriksaan pihak polis dan forensik di lokasi kejadian mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan seorang individu dan pelapik skrin tiga buah mesin ATM itu dipecah menggunakan topi keledar.

Selain mendapatkan cap jari suspek, pihak forensik turut menemui serpihan penghadang muka (visor) topi keledar pada ruang mesin ATM bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Usaha mengesan suspek serta mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sedang dilakukan dan motif kejadian belum dikenal pasti ketika ini.

“Kita minta saksi kejadian serta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil atau hubungi balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat.

▶️MALAYSIAGAZETTE

31.08.2021

No comments:

Post a Comment