Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan percubaan menyeludup ke Thailand selepas merampas 700kg daun ketum bernilai RM21,000 yang disembunyikan dalam dua kontena di sebuah kawasan transit kontena dan kargo antarabangsa di Padang Besar, Perlis semalam.
Pembongkaran sindiket berkenaan turut membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun yang bertugas sebagai pengurus kontena di kawasan itu.
Menurut laporan portal berita Free Malaysa Today, Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pangkalan Hulu, Ramli Wan Salin berkata, rampasan dibuat pada 3 petang selepas anggotanya menerima maklumat mengenai kegiatan berkenaan sebelum melakukan intipan selama seminggu terhadap sindiket terbabit.
Beliau berkata, pihaknya mendapati sindiket berkenaan menjadikan kontena di kawasan itu sebagai transit untuk membawa daun ketum ke Thailand berikutan negara jiran itu sudah membenarkan penggunaan daun ketum secara sah menyebabkan permintaan terhadap barangan itu agak tinggi.
“Daun ketum yang dibawa dari pelbagai tempat termasuklah dari Kedah atau Perlis akan dikumpulkan secara rahsia dalam dua kontena ini dan setiap kontena mampu dipenuhkan sehingga tujuh tan daun ketum.
“Bekalan daun ketum ini kemudian akan dibawa melepasi kawasan ini sama ada dengan lori atau kereta api menuju terus ke Thailand. Dalam hal ini kita tidak menolak kemungkinan daun ketum ini dibawa menggunakan lori sehingga ke Bangkok atau lokasi lain yang memerlukan bekalannya di sana,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Ramli berkata, ketika intipan pihaknya turut mendapati suspek yang mempunyai akses ke tempat itu serta kontena berkenaan akan membawa bungkusan daun ketum sedikit demi sedikit untuk memenuhkan ruang kontena.
“Ini adalah kali pertama kita bertemu taktik penyeludupan seperti ini menggunakan kawasan seperti ini untuk menyeludup daun ketum kerana biasanya kita banyak berjumpa dengan taktik penyeludupan daun ketum di dalam hutan menggunakan ‘lorong tikus’ yang ada di kawasan sempadan.
“Untuk memenuhkan kontena berkenaan dipercayai memakan masa sehingga seminggu dengan bekalan daun ketum ini akan dibawa menggunakan sama ada motosikal, pikap mahupun lori sebelum dimuatkan ke dalam kontena,” katanya.
Suspek dan rampasan daun ketum itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
No comments:
Post a Comment