Pulau Pinang membenarkan semua masjid dan surau untuk melaksanakan solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang ditetapkan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Mohd Zakuan Zakaria berkata bagi solat Jumaat di masjid negeri dan masjid-masjid daerah adalah terhad kepada 150 jemaah manakala masjid kariah dengan jumlah jemaah tidak melebihi 100 orang.
"Bagi surau pula jemaah 50 orang untuk perlaksanaan di semua surau Jumaat di Pulau Pinang, manakala bagi solat fardu pula kebenaran diberikan bagi jumlah jemaah tidak melebihi 150 untuk masjid negeri dan daerah serta untuk masjid kariah jumlah jemaah mesti tidak melebihi 100 orang.
"Untuk surau pula, pelaksanaan solat fardu dibenarkan dengan jumlah jemaah tidak lebih daripada 50 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya pelaksaaan solat sunat Aidiladha juga dibenarkan dengan jumlah jemaah yang ditetapkan iaitu, tidak melebihi 150 jemaah bagi masjid negeri dan daerah, masjid kariah (100) dan surau (50 ).
Mohd Zakuan berkata bagi solat jenazah pula, jumlah bilangan jemaah tidak melebihi 30 orang manakala bagi urusan pengembumian juga seramai 30 orang dibenarkan.
Katanya aktiviti korban juga dibenarkan mengikut garis panduan yang ditetapkan sebelum ini namun sebarang aktiviti sosial adalah dilarang ketika solat sunat Aidiladha dilaksanakan.
"Semua perkara dan ketetapan itu diputuskan JHEAINPP selepas Pulau Pinang memasuki peralihan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) (mulai semalam) seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata sebagai makluman, sejak 25 Nov tahun lepas sehingga semalam, sebanyak 19 buah surau dan masjid telah ditutup akibat penularan wabak COVID-19.
"Perlu diingatkan bahawa kita belum bebas sepenuhnya dari wabak ini dan semua pihak perlu mematuhi segala peraturan dan SOP yang ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA

Di dalam statements di atas tidak ada menyatakan syarat kepada jemaah untuk solat jumaat & fardu secara berjemaah ke Masjid & Surau perlu tunjuk telah di VAKSINASI 2 DOS?
ReplyDelete