Oleh Zatul Iffah Zolkiply Harian Metro
atuliffah@hmetro.com.my
KUALA BERANG: Seksyen jualan alat tulis di pasar raya dan premis seumpamanya yang menyokong keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) wajar dibuka dalam tempoh sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung isu itu.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) peka dengan rungutan guru dan ibu bapa yang berdepan kesukaran mendapatkan kelengkapan serta keperluan alat tulis untuk digunakan anak-anak dalam sesi pembelajaran sepanjang PKP 3.0 ini.
"Isu ini sudah saya suarakan dua hari lalu dan semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyuarakan perkara sama kerana ada keperluan bagi sesi PdPR ini.
"Kita yakin MKN akan mempertimbangkan permohonan ini," katanya ketika ditemui selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tajin, di sini, hari ini.
Beliau berkata, KPDNHEP turut memantau keberadaan barangan atau apa-apa isu membabitkan kepenggunaan bagi menjamin keperluan dan kepentingan pengguna.
Mengenai sebuah restoran yang dikompaun di Selangor, Rosol berkata, penguat kuasa KPDNHEP mengambil tindakan kerana pemilik premis tidak memohon kebenaran beroperasi daripada Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) 3.0 yang ditadbir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Semakan mendapati mereka tidak memohon CIMS di bawah MITI.
"Memang berlaku sedikit kesesakan (permohonan) di MITI dan KPDNHEP memberi masa dua hingga tiga hari untuk mereka beroperasi tanpa kelulusan dengan syarat ada membuat permohonan.
"Dalam kes ini, pemilik restoran didapati tidak membuat permohonan CIMS sedangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) menyatakan sektor yang dibenar beroperasi sepanjang PKP 3.0 ini perlu berbuat demikian," katanya.

No comments:
Post a Comment