Friday 12 February 2021

MAQIS Pulau Pinang rampas daging kerbau bernilai RM4.28 juta


Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 17,370 kotak produk ruminan iaitu daging kerbau sejuk beku dari India.

Kesemua bahan mentah itu ditahan dalam tempoh tiga hari bermula Isnin lalu hingga Rabu dengan penahanan pertama sebanyak lima kontena.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, pihaknya menahan 12 kontena seberat 335,914 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM4.28 juta itu di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini pada jam 5.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, keseluruhan dagangan tersebut menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Kesemua kontena yang membawa produk ruminan itu ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Penggunakan logo yang mengelirukan akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya. SH

No comments:

Post a Comment