Friday 12 February 2021

#MakMandin dicekup ketika leka bungkus dadah

 

 Seorang pengedar dadah dicekup polis ketika sedang leka membungkus dadah di sebuah rumah di Mak Mandin, Butterworth pada jam 3 petang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis merampas ketamin seberat 3.051 kilogram (kg) bernilai RM167,805 susulan penahanan suspek berusia 23 tahun itu.

Menurutnya, siasatan mendapati, lelaki tersebut menjadikan rumah berkenaan sebagai stor menyimpan dadah.

“Kita merampas 116 peket ketamin seberat 3.051 kg ketika serbuan dibuat. Suspek menyewa rumah tersebut semata-mata untuk dijadikan stor menyimpan bekalan dadah.

“Dipercayai, suspek mendapat bekalan dadah daripada rangkaian sindiket dalam kuantiti yang besar sebelum membungkusnya semula sebelum dijual kepada pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada Khamis.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, suspek yang juga seorang penganggur itu hanya menjual dadah kepada pelanggan tetap sahaja melalui panggilan telefon bagi mengelak kegiatannya dihidu pihak berkuasa.

“Kesemua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang dan suspek bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Noorzainy berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Kia Sportage, sebuah kereta Perodua Myvi serta wang tunai berjumlah RM62,000.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan dia kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, polis menahan seorang tokan dadah di kawasan Sungai Dua, dekat sini.

Katanya, suspek berusia 36 tahun itu ditahan ketika sedang menunggu pelanggannya pada jam 3 pagi, Khamis.

“Susulan penahanan suspek, kita merampas 11 paket syabu seberat 30 gram berharga RM3,000. Suspek bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu di kawasan Sungai Dua dan Butterworth.

“Ujian air kencing suspek yang tidak bekerja itu menunjukkan positif,” katanya. SH

No comments:

Post a Comment