Monday, 22 February 2021

Kanak-kanak pesakit leukemia mahu jadi polis meninggal dunia


Pesakit leukemia tahap empat, Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan, 7 tahun, dari Pulau Pinang yang dibawa menaiki kereta peronda polis (MPV) pada bulan lalu meninggal dunia petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, memaklumkan, kanak kanak itu meninggal dunia pada jam 6 petang di rumah keluarganya di Bakar Kapor, Kepala Batas.

“Saya mendapat perkhabaran sedih Mohamad Ammar Dhani telah meninggal dunia petang tadi dan keluarga Allahyarham memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bakar Kapor, Penaga, Kepala Batas kira-kira jam 11 pagi esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Pada 22 Januari lalu, Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor menunaikan impian Mohamad Ammar Dhani untuk menaiki MPV.

BACA: Impian kanak-kanak hidap leukemia tahap empat naik kereta peronda polis tercapai

Kanak-kanak itu bercita-cita menjadi anggota polis dibawa bersiara-siar selama lima minit sejauh kira-kira dua kilometer dengan MPV jenis Honda Civic di sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas.

Hasrat kanak-kanak itu direalisasikan melalui Program Hasrat Dipenuhi Seikhlas Hati di Ibu Pejabat Polis SPU, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Mohamad Ammar Dhani anak sulung daripada empat beradik dikesan menghidap leukemia sejak berusia dua tahun.

AWANI

No comments:

Post a Comment