Monday, 22 February 2021

Ahli MPT Bersatu desak Umno umum keputusan mesyuarat, Shahril bidas ‘serangan’ secara terbuka


Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman yang menggesa parti itu mendedahkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), minggu lalu.

Jelasnya, Umno berhak menentukan masa sesuai bagi mendedahkan hasil mesyuarat tersebut selain hanya presiden dan setiausaha agung layak mengumumkan perkara itu.

“Saya perhati seorang ahli MPT sebuah parti ini seolah-olah ada ‘assignment’ untuk mempersoal dan menyerang Umno secara terbuka.

“Terkini, individu ini menggesa Umno untuk mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat. Ditegaskan jika Umno mahu mengumum atau mendedahkan sebarang keputusan, Umno akan lakukan mengikut waktu dan garis masanya sendiri.

“Sebarang kenyataan rasmi mengenai keputusan dasar akan datang dari presiden atau setiausaha agung,” katanya.

Shahril berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Dr Muhammad Faiz yang mendesak Umno mendedahkan hasil keputusan mesyuarat MKT seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Sebelum ini, media melaporkan Umno telah mengadakan mesyuarat MKT bagi memutuskan sama ada akan meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya pada pilihan raya umum akan datang.

Terdapat khabar angin mengatakan Umno bersedia memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan PN namun, dinafikan Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan Umno.

Terdahulu, Shahril berkata sebarang perihal dalaman parti sebaiknya tidak didedahkan kepada media secara terbuka.

Katanya, ia bukan memberi kesan kepada Umno tetapi hanya akan ‘membuka pekung’ pihak lain.

“Gesaan terbuka melalui media untuk Umno mendedahkan perihal dalaman parti hanya membongkar kelemahan pihak yang menggesa tersebut.”

Projek MM

No comments:

Post a Comment