KEPALA BATAS: Hasrat seorang juruteknik mahu mendapatkan pinjaman dari sebuah bank bagi memulakan perniagaan kedai makan bukan sahaja tidak kesampaian malah terpaksa menanggung rugi apabila diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.
Lelaki berusia 33 tahun itu yang mahu membuat pinjaman sebanyak RM35,000 sebagai modal dikatakan tertarik dengan iklan pinjaman wang berlesen yang kononnya disediakan pihak bank tempatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tertarik dengan iklan terbabit lelaki yang berasal dari Butterworth itu meninggalkan maklumat peribadi pada iklan sebelum dia dihubungi seorang lelaki yang mendakwa sebagai ejen bank yang menawarkan pinjaman peribadi secara dalam talian.
Menurutnya, bagi mendapatkan pinjaman terbabit mangsa diminta membuat bayaran proses dan bayaran pengaktifan akaun terlebih dahulu.
"Mangsa kemudiannya telah membuat lima transaksi kemasukan wang ke dua akaun bank diberikan ejen bank yang kesemuanya berjumlah RM13, 914.51.
"Dia berasa ditipu setelah membuat semakan dengan pihak bank dan dimaklumkan bahawa bank terbabit tidak pernah mengiklankan pinjaman wang melalui media sosial dan melakukan proses melalui dalam talian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, nasib sama turut menimpa seorang guru berusia 30 tahun dan operator kilang berusia 20 tahun yang turut menjadi mangsa sindiket yang menggunakan modus operandi sama.
Katanya, guru wanita terbabit kerugian RM1,250 manakala operator kilang telah memasukkan wang sebanyak RM1, 810 ke akaun yang diberikan ejen syarikat pinjaman.
"Mereka mula rasa ditipu setelah diminta menambah lagi bayaran sebelum ketiga-tiga membuat laporan polis secara berasingan semalam.
"Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,"katanya.
Sementara itu, Noorzainy berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun-akaun individu terbabit.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan seperti ini kerana hakikatnya peminjam tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk proses pinjaman.
"Orang ramai juga dinasihatkan tidak perlu membuat sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan dalam laman sesawang dan juga atas talian," katanya.
--sinarharian
No comments:
Post a Comment