Kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar ad valorem 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik atau vape serta rokok bukan elektronik berkuat kuasa 1 Januari 2021.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter juga akan dikenakan bagi cecair rokok elektronik.
Menurutnya, ia antara strategi bagi menambah baik kutipan hasil kerajaan yang ketika ini berada pada sekitar 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk hasil berkaitan petroleum sekitar tiga peratus.
“Strategi kutipan hasil akan ditambah baik termasuk membasmi aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi,” katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga akan memperkasa Multi-Agency Task Force dengan penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional bagi membasmi aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi.
Menurutnya, ia adalah antara strategi bagi menambah baik kutipan hasil kerajaan yang ketika ini berada pada sekitar 15 peratus daripada KDNK termasuk hasil berkaitan petroleum sekitar tiga peratus.
“Mulai tahun hadapan, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan kemapanan sumber hasil dan keupayaannya untuk membiayai perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus.
“Antara langkahnya ialah kerajaan membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu dan turut memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import.
“Seterusnya, kerajaan akan menghadkan aktiviti 'transhipment' rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja dan pada masa sama kerajaan akan mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik atau 'drawback' ke atas semua rokok import bagi tujuan 'transhipment' dan eksport semula,” katanya.
Katanya, kerajaan tidak akan membenarkan aktiviti penghantaran dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit di samping mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai.
Dari segi agenda pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pula, Tengku Zafrul berkata, kerajaan ketika ini berada pada peringkat 6R terakhir iaitu 'Reform' atau Menyusun Semula.
“Kerajaan akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya.
SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment