Friday 6 November 2020

#Belanjawan2021 Pengeluaran lesen import rokok baharu dibekukan mulai 1 Januari 2021

 


Kerajaan akan membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu mulai 1 Januari 2021 sebagai antara strategi menambah baik kutipan hasil bagi membasmi aktiviti penyeludupan, terutama barangan berduti tinggi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada tarikh sama, kerajaan akan turut memperketat pembaharuan lesen import rokok menerusi semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import dan mengehadkan aktiviti transit dagangan rokok di pelabuhan tertentu.

"Kerajaan akan mengenakan cukai dengan kemudahan pulangan balik atau 'drawback' ke atas semua rokok import bagi tujuan transit dagangan dan eksport semula.

"Selain itu, kerajaan juga tidak akan membenarkan aktiviti transit dagangan dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit dan akan mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai mulai 1 Januari 2021," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan turut mengenakan duti eksais pada kadar 'ad valorem' 10 peratus membabitkan semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape yang turut berkuatkuasa pada 1 Januari depan.

Malah, cecair rokok elektronik akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen bagi setiap mililiter, katanya.

"Pada masa ini, hasil kerajaan adalah sekitar 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK), termasuk hasil berkaitan petroleum sekitar 3.0 peratus.

"Kerajaan perlu memastikan sumber hasil adalah mampan dan mampu membiayai perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus," katanya.

Beliau berkata, pasukan petugas pelbagai agensi akan turut diperkasa dengan penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment