SHAH ALAM:Lebih 1.8
bilion umat Islam di seluruh dunia berkongsi kegembiraan dan bersyukur apabila
Masjidil Haram dibuka semula untuk ibadat umrah selepas sekatan selama enam
bulan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Portal Arab News
melaporkan kumpulan pertama jemaah yang terdiri daripada penduduk tempatan itu
dibenarkan memasuki Masjidil Haram mulai jam 6 pagi Ahad selepas membuat
permohonan melalui aplikasi Eatmarna yang disediakan Kementerian Haji dan Umrah
Arab Saudi.
Bagi menampung kuota 6,000 jemaah yang dibenarkan dalam masa sehari, Kementerian Haji dan Umrah negara itu menyediakan lima lokasi berasingan termasuk di Al-Gaza, Ajyad dan Al-Shasha bagi membolehkan jemaah bersama petugas kesihatan profesional menaiki bas ke Masjidil Haram.
Kamera pengesanan suhu
ditempatkan di pintu masuk dan ruang dalam Masjidil Haram untuk memantau
peningkatan suhu badan dan mengeluarkan amaran jika perlu.
Kira-kira 1,000 petugas
dilatih bagi memantau ibadat umrah di Masjidil Haram dan kerja pembersihan
serta nyahkuman dilakukan sebanyak 10 kali sehari.
Beberapa langkah
pencegahan diambil termasuk pemeriksaan suhu, jalur pintar, pelitup muka dan
penjarakan fizikal ketika melakukan umrah.
Sistem pendingin hawa
juga dilengkapi dengan teknologi pembersih ultraviolet dengan jadual
pembersihan penapis udara sebanyak sembilan kali sehari bagi tiga tahap yang
berbeza.
Kawasan mataf di sekitar
Kaabah yang boleh memuatkan 2.5 juta jemaah dipilih sebagai lokasi bagi umat
Islam menunaikan umrah kali ini.
Ruang khusus sebagaimana
disediakan untuk jemaah yang melaksanakan haji pada Ogos lalu turut
diperkenalkan bagi memudahkan akses sepanjang mereka berada di Masjidil Haram.
Presiden Hal Ehwal Urusan
Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais yang merujuk
kepada kebenaran diraja daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman memaklumkan
jemaah turut dibenarkan menziarahi Raudhah yang terletak di dalam Masjid
Nabawi.
Timbalan Menteri Haji dan
Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah bin Sulaiman Mashat berkata, keputusan membuka
semula Masjidil Haram untuk ibadat umrah telah menggembirakan umat Islam di
Arab Saudi dan seluruh dunia.
“Perancangan ini hasil
kerjasama dan koordinasi semua pihak berwajib berkaitan haji dan umrah,” ujarnya.
Berdasarkan statistik
rasmi Kementerian Haji dan Umrah, sebanyak 108,041 permit dikeluarkan untuk
bakal jemaah umrah sejak pelancaran aplikasi Eatmarna pada 27 September hingga
1 Oktober lalu.
Daripada jumlah tersebut,
42,873 permit untuk warga tempatan manakala ekspatriat memperoleh 65,168 permit
untuk mengerjakan umrah.
--sinarharian
No comments:
Post a Comment