WASHINGTON: Jabatan
Kehakiman Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman antipesaingan terhadap Google
kerana secara tidak sah 'mengekalkan monopoli dalam perkhidmatan pasaran carian
dan carian iklan' pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua.
Saman terhadap syarikat
yang beribu pejabat di California itu difailkan di Mahkamah Daerah Columbia.
Seramai tujuh pendakwa raya negeri menyertai jabatan itu sebagai plaintif kes
berkenaan.
Sebagai sebuah syarikat
terkaya di planet ini dengan nilai pasaran sebanyak US$1 trilion, Google
dimiliki Alphabet Inc, menjadi pengawal gerbang monopoli kepada internet untuk
berbilion pengguna dan terlalu banyak pengiklan seluruh dunia, menurut jabatan
itu.
Sejak bertahun-tahun,
Google menguasai hampir 90 peratus carian di Amerika dan 'menggunakan taktik
antipersaingan untuk mengekal dan mengukuhkan monopolinya dalam aplikasi carian
dan carian iklan'.
Pengadu mendakwa Google
secara tidak sah mengekalkan monopoli dalam aplikasi carian dan carian iklan
dengan menandatangani perjanjian eksklusif melarang penyediaan perkhidmatan
carian sudah sedia dimuat turun lain dan membuat perjanjian jangka panjang
dengan Apple supaya menjadikan Google sebagai aplikasi asal.
Menurut jabatan itu,
gergasi teknologi itu menggunakan keuntungan hasil monopoli untuk membeli
perkakasan lain bagi peranti enjin carian pada peranti, pelayar laman web dan
akses carian lain, 'mewujudkan kitaran monopoli kendiri dan berterusan'.
"Hari ini, jutaan
warga Amerika bergantung kepada Internet dan pentas dalam talian untuk urusan
kehidupan seharian. Persaingan dalam industri ini amat penting dan mengapa
saman terhadap Google - pengawal gedung internet - hari ini amat penting kerana
melanggar undang-undang antipersaingan, kes amat penting buat Jabatan Kehakiman
dan rakyat Amerika," kata Peguam Negara, William Barr.
Sementara itu, jurucakap
Google yang dipetik CNBC berkata, saman itu 'amat cacat' dan berhujah, orang
ramai menggunakan Google sebab mereka yang memilih, bukan disebabkan mereka
dipaksa atau disebabkan mereka tiada pilihan lain.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment