Thursday 15 October 2020

COVID-19: Sekolah Kebangsaan Lekir ditutup


IPOH: Sekolah Kebangsaan Lekir, Batu 8 di Sitiawan ditutup selama seminggu bermula hari ini susulan terdapat kes jangkitan COVID-19.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata ia berdasarkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa mana-mana sekolah yang mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup selama tujuh hari.

 

"Penutupan sekolah dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata ia menjadikan sebanyak tujuh sekolah ditutup di Perak setakat ini dan kesemua sekolah terlibat diingatkan mematuhi arahan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

 

Razman berkata sekolah juga disarankan supaya mengambil inisiatif untuk melaksanakan sanitasi di premis masing-masing dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat terutamanya kepada mereka yang berada atau pulang dari kawasan yang berisiko bagi mengelakkan penyebaran wabak.

 

"Diharapkan kesemua ibu bapa agar tidak cemas dan panik dalam situasi terbaru ini serta memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini," katanya.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment