GEORGE TOWN: Sebanyak 11
kilang kitar semula plastik tidak berlesen di rekodkan beroperasi di Pulau
Pinang, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri
Jagdeep Singh Deo.
Beliau berkata sebanyak
102 kilang kitar semula plastik dikenal pasti beroperasi di negeri ini dengan
kesemuanya terletak di Seberang Perai.
"Sebanyak 91 kilang
kitar semula plastik adalah berlesen manakala 11 lagi tidak berlesen. Di
kawasan Seberang Perai Utara sebanyak 34 kilang berlesen dan satu tidak berlesen,
di daerah Seberang Perai Tengah 36 berlesen, tujuh tidak berlesen manakala di
Seberang Perai Selatan sebanyak 21 kilang berlesen manakala tiga tidak
berlesen," katanya semasa menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok)
pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Lee ingin tahu bilangan
kilang kitar semula plastik berlesen dan tidak berlesen mengikut daerah
serta jumlah penguatkuasaan yang telah
dijalankan ke atas kilang-kilang yang beroperasi secara haram serta membakar
secara terbuka dan kekangan yang dihadapi oleh pihak penguat kuasa Jabatan Alam
Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Polis Diraja Malaysia
(PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kilang haram
berkenaan.
Jagdeep berkata sebanyak
34 operasi penguatkuasaan telah dijalankan sehingga September lepas dan pihak
berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan sebanyak 16 notis dan 11 tawaran
kompaun bagi ketidakpatuhan yang dilakukan oleh kilang-kilang terbabit.
Beliau berkata antara
kekangan yang dihadapi oleh pihak berkuasa atau agensi dalam menjalankan
tindakan penguatkuasaan ke atas kilang haram ialah kesukaran mendapatkan
maklumat lengkap berhubung syarikat yang menjalankan aktiviti operasi kilang
bagi tujuan dokumentasi untuk tindakan undang-undang di mahkamah.
"Selain itu,
kekangan yang dihadapi juga adalah kesukaran mendapatkan pembuktian aktiviti
atau kesalahan yang sedang dijalankan, proses tindakan mahkamah yang mengambil
masa panjang, infrastruktur dan pembangunan kilang kitar semula yang tidak
mengikut atau lulus kebenaran merancang juga menjadi kekangan kepada Jabatan
Alam Sekitar dalam menjalankan penguatkuasaan," katanya.
Jagdeep yang juga Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata tindakan penguatkuasaan
yang dijalankan secara berasingan oleh semua jabatan atau agensi penguatkuasaan
berikutan senarai peruntukan undang-undang yang berbeza dan tindakan
penguatkuasaan tidak menyeluruh juga menjadi antara faktor kekangan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment