Monday, 26 October 2020

Ahli politik junjung titah Agong, fokus tanggungjawab bela rakyat


Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak menjalankan tugas seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi hantaran Twitternya, beliau berkata usaha memerangi Covid-19 perlu ditingkatkan lagi walau mungkin terus diganggu dan politik terus tidak stabil.

“Menjunjung kasih atas keyakinan yang begitu tinggi SPB (Seri Paduka Baginda) Tuanku atas keupayaan yang telah dibuktikan kerajaan memerangi Covid-19,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara petang ini bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Sementara itu, penasihat DAP Lim Kit Siang berkata sistem Raja Berperlembagaan di negara ini terbukti sebagai benteng utama mempertahankan sistem demokrasi berparlimen.

Dalam kenyataannya, beliau berkata rakyat pelbagai latar belakang berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana tidak mengisytiharkan darurat selepas perbincangan khas raja-raja di Istana Negara semalam.

Pada masa sama, Lim turut menyeru rakyat, terutamanya ahli Parlimen agar bersatu padu  membentuk usaha yang melibatkan keseluruhan kerajaan dan masyarakat bagi memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Malaysia.

“Semua ahli-ahli Parlimen perlu fokus kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan dalam berhadapan dengan Covid-19 ‘sekali dalam seabad’ ini.

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah yang kini menjadi pusat penularan utama wabak ini,” katanya, menambah semua pihak perlu menggandakan usaha dalam mendatarkan lekuk penularan Covid-19.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerusi hantaran Twitternya pula berkata keputusan Al-Sultan Abdullah adalah keputusan yang tepat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dalam kenyataannya berkata keputusan itu dibuat penuh hemah dan kebijaksanaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kelangsungan kemakmuran negara.

“Parti Amanah menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda dan akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini,” demikian menurut kenyataan di laman Facebooknya. — Bernama 

No comments:

Post a Comment