KUALA LUMPUR: Kerajaan
berkemungkinan memuktamadkan pemilihan vaksin COVID-19 menjelang awal tahun
depan.
Memetik laporan Bernama,
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata,
ujian klinikal vaksin Covid-19 dijangka dianalisis hujung tahun ini.
Kata beliau, kementerian
sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan
Jabatan Peguam Negara berhubung pelaksanaan undang-undang dan modal perolehan
vaksin Covid-19.
“Kita juga sedang
berbincang dengan syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa lain bagi
pembekalan terus tanpa melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 Vaccine Global
Access (Covax).
“Saya telah meminta
supaya satu perjanjian dengan negara China dimuktamadkan secepat mungkin
berikutan draf penjanjian hampir siap,” katanya selepas melancarkan pengecas
tanpa wayar nanotech (METT) yang pertama di Malaysia di sini hari ini.
Antara syarikat yang
memulakan ujian klinikal terakhir vaksin Covid-19 termasuk Moderna, Pfizer and
BioNTech, AstraZeneca, University of Oxford dan Johnson & Johnson.
Khairy berkata, Malaysia
masih dalam proses rundingan dengan pihak Covax bagi mendapatkan vaksin
Covid-19 yang diperlukan.
“Ada beberapa perkara
yang masih dalam perbincangan dengan pihak Covax. Kemudahan ini adalah
kemudahan pembelian awal, jadi model perolehan ini agak luar biasa.
“Kita bayar untuk benda yang masih belum lagi wujud,” katanya.
– UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment