SUNGAI PETANI: Dua anak
kepada nelayan yang lemas di muara sungai di Jeti Pengkalan Segantang Garam,
Merbok di sini baru-baru ini menerima wang pampasan daripada Pertubuhan
Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM38,556.
Mereka menerima pampasan
itu di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Nelayan terbabit,
Allahyarham Zulkifli Mohamad, 52, ditemui lemas pada 20 September lalu selepas bot yang dinaiki
bersama abangnya,Jaafar, 57, dilanggar oleh sebuah bot lain di tempat kejadian
dua hari sebelum itu.
Ketua Pengarah Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Othman Abdul Latiff berkata, dua orang anak
mangsa, Muhammad Danial Ikmal, 18, dan Nur Diyana Basirah, 15, akan menerima
pampasan itu sebanyak RM250 setiap bulan sehingga umur mereka mencapai 21
tahun.
“Bapa mereka, Allahyarham
Zulkifli telah mencarum skim itu bermula pada 15 Ogos 2020 sehingga 14 Ogos
2021 ketika menjadi nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita pada Program Penyerahan Pampasan SKSPS di Taman Nelayan
Tanjung Dawai di sini semalam.
Turut hadir Ketua SKSPS
Perkeso, Azhar Md. Nazri, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT),
Azrin Shah Ismail, Pengarah LKIM Kedah, Hamdan Mamat dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali.
Othman memberitahu,
sehingga ini, seramai 42,000 daripada 98,000 nelayan dari seluruh negara telah
menyertai skim caruman tersebut.
Jelasnya, nelayan boleh
menyertai skim itu dengan potongan elaun bantuan sara hidup nelayan sebanyak
RM157.20 setahun.
“Sehubungan itu, nelayan
yang belum berbuat caruman itu, perlu melakukannya supaya anggota keluarga
boleh mendapat manfaat yang sama jika berlaku pelbagai perkara tidak diingini
ketika keluar ke laut nanti,” katanya lagi.
Pada program itu, Othman
juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,500 melalui Skim Bantuan Bencana Alam
dan Kebajikan Nelayan kepada seorang balu, Mawar Suriyarni Rasli, 33, selepas
suaminya, Mokta Hasim, 48, meninggal dunia pada 19 Mei lalu akibat ditimpa besi
ketika menangkap ikan di laut.
-UTUSAN
No comments:
Post a Comment