Sebanyak 80 bungkusan
cecair disyaki air ketum ditemui dalam tong ais ketika serbuan di sebuah stor
dekat Jalan Sidam Kanan semalam.
KULIM - Pulangan lumayan
mengedar air ketum menyebabkan dua rakan yang sudah beberapa kali dikenakan
tindakan tidak serik melakukan kegiatan haram itu.
Terkini lelaki berusia 24
dan 25 tahun itu ditahan di sebuah stor dekat Jalan Sidam Kanan dalam serbuan
kira-kira jam 4.45 petang semalam bersama 80 bungkusan plastik berisi cecair
disyaki air ketum dalam sebuah kotak ais dianggarkan seberat kira-kira 40
liter.
Ketua Polis Daerah Kulim,
Superintenden Azhar Hashim dalam satu kenyataan berkata, semakan lampau
menunjukkan mereka mempunyai rekod tangkapan berkaitan Akta Racun 1952.
"Mereka tidak serik.
Seorang daripadanya mempunyai satu rekod lampau tahun lalu manakala rakannya
mempunyai lima kes lampau bermula 2016 sehingga September 2020 berkaitan Akta
Racun 1952 dan sudah dijatuhkan hukuman," katanya.
Menurutnya, dalam serbuan
sama polis menemui sebuah periuk besar mengandungi daun hijau dipercayai daun
ketum, sebuah dapur gas dan tong gas dipercayai digunakan untuk menghasilkan
cecair terbabit
Difahamkan, hasil memasak
10 kilogram daun ketum bernilai RM140 boleh menghasilkan 200 bungkus air ketum
yang dijual dengan harga RM4 sebungkus.
Suspek mengaku daun ketum
diperoleh dari Jeniang dengan harga semurah RM14 sekilogram.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Kesemua rampasan dibawa
pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk siasatan lanjut.
--SINARHARIAN
No comments:
Post a Comment