BUTTERWORTH: Kepakaran
dua sekawan mengadun dadah pelbagai perisa untuk dijadikan jus minuman
terbongkar apabila rumah sewa yang beroperasi sebagai makmal mini di Nibong
Tebal dekat sini diserbu 23 September lalu.
Dalam serbuan Bahagian
Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan
pada pukul 8.30 malam itu, seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 35 dan 29
tahun ditahan.
Ketua Polis Daerah,
Superintenden Lee Chong Chern berkata, kedua-dua suspek berkemahiran
mencampurkan serbuk dadah bersama pelbagai perisa serta pewarna yang dibancuh
menjadi minuman.
“Serbuk yang siap diadun
akan dibungkus sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar bahagian pulau. Kita
turut merampas dadah jenis ketamin, syabu dan methylenedioxymethamphetamine
(MDMA) serta pil yaba bernilai RM37,752.
“Polis turut merampas
beberapa peralatan yang digunakan untuk memasak bahan larangan terbabit,”
katanya dalam sidang akhbar semalam.
Beliau berkata, suspek
wanita merupakan penganggur manakala suspek lelaki bekerja sebagai juruteknik
pendingin udara sambilan.
“Berdasarkan siasatan
awal, kedua-duanya mengakui terlibat dalam kerja pemprosesan dadah sejak lapan
bulan lalu. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah dan
masing-masing memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.
Kedua-dua suspek direman
hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-UTUSAN
No comments:
Post a Comment