Thursday 27 August 2020

Sedia bincang jika Pulau Pinang mahu ambil alih perkhidmatan feri - Wee Ka Siong

 


Kementerian Pengangkutan bersedia berbincang mengenai isu pengambilalihan perkhidmatan feri bersama kerajaan Pulau Pinang jika mereka berhasrat untuk berbuat demikian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata persefahaman dan hubungan akrab kedua-dua pentadbiran kerajaan itu penting kerana setiap keputusan Kerajaan Persekutuan perlu mendapat sokongan kerajaan negeri.

"Dalam konteks perkhidmatan feri yang kita beri kepada rakyat Pulau Pinang, saya beri jaminan selaku Menteri Pengangkutan, apa juga pandangan dan input daripada kerajaan negeri kita akan ambil berat.

"Kita akan bincang dari segi latar belakang sama ada kerajaan negeri masih lagi berhasrat untuk ambil alih. Kalau nak ambil alih secara jangka panjang, kita kena pinda akta kita," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chow Kon Yeow (PH-Tanjung) sama ada kementerian akan memberi maklumat lengkap kepada kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang mengenai pelan jangka panjang perkhidmatan feri di Pulau Pinang. BH


No comments:

Post a Comment