Zakat Pulau Pinang (ZPP) di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terpaksa menyemak semula unjuran sasaran kutipan zakat tahun ini.
Ia berikutan pandemik covid-19 yang menjejaskan kemampuan umat Islam untuk menunaikan rukun Islam keempat itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali, pihaknya menjangkakan penurunan 10 peratus daripada sasaran asal berikutan ramai yang terjejas pendapatan termasuk kehilangan pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
“Unjuran asal kita target tahun ini RM136 juta tapi oleh kerana COVID-19 ni kita mendapati gaya ataupun trend kutipan tu agak perlahan.
“Jadi, setelah mendapat persetujuan daripada lembaga pengarah maka kita terpaksa menyemak semula sasaran kutipan kepada RM122.4 juta iaitu 10 peratus pengurangan,” katanya.
Di sebalik penurunan kutipan zakat, Amran berkata pihaknya menjangkakan jumlah agihan zakat pula akan meningkat kerana ramai yang tergolong dalam kategori miskin secara tiba-tiba, akibat kehilangan pekerjaan.
Tambah beliau sehingga Jun tahun ini sahaja jumlah agihan zakat berjumlah kira-kira RM40,000 berbanding sekitar RM24,000 tahun lalu.
Beliau ditemui pada satu majlis minum petang dan serahan zakat korporat oleh enam syarikat berjumlah RM1.22 juta di Butterworth.
Enam syarikat terbabit ialah Maybank Islamic Berhad, Etiqa Family & General Takaful Berhad, QSR Brands, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Rural Capital Berhad. — AlHijrah Online
No comments:
Post a Comment