Sunday 12 July 2020

Solat Jumaat pertama di Hagia Sophia, 24 Julai ini

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memaklumkan umat Islam akan bersolat Jumaat yang pertama, di Hagia Sophia selepas Mahkamah Tinggi membatalkan status muziumnya, pada 24 Julai ini.

"Dengan kuasa Tuhan, kita akan melakukan solat Jumaat bersama-sama pada 24 Julai dan membuka Hagia Sophia untuk beribadah.

"Seperti semua masjid kita, pintu Hagia Sophia akan dibuka kepada semua penduduk tempatan dan orang luar, Muslim dan bukan Muslim," kata Encik Erdogan.

Beliau dengan segera menyerahkan pentadbiran "Masjid Hagia Sophia" kepada ehwal keagamaan untuk membukanya semula bagi umat Islam beribadah.



Bangunan menakjubkan itu pertama kalinya dibina pada kurun keenam sebagai sebuah gereja Kristian di bawah Empayar Byzantin.

Setelah Empayar Uthmaniyah menawannya pada 1453, gereja itu ditukar menjadi masjid sebelum ia menjadi sebuah muzium semasa pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk.

Dalam satu ucapan kepada negara, Encik Erdogan memberi jaminan bahawa Hagia Sophia akan turut dibuka kepada pengunjung bukan Islam.

Pemimpin Turki itu menggesa semua orang supaya "menghormati" keputusan Turki.

- AFP/NA/na

No comments:

Post a Comment