Sunday 26 April 2020

#Singapura Wanita ditahan polis gara-gara menengking & meludah pekerja KFC

Seorang wanita yang dirakam memarahi dan meludah seorang pekerja KFC di pusat beli-belah NEX, Singapura, hanya kerana tidak berpuas hati kerana terpaksa menunggu pesanan, akhirnya ditahan polis pada Jumaat lalu.

Dalam kenyataan pada Sabtu (25 April), polis memaklumkan wanita berusia 42 tahun itu ditahan atas kesalahan melakukan kekacauan di khalayak awam.

"Siasatan menunjukkan wanita itu memarahi kakitangan berkenaan ketika diberitahu dia perlu menunggu untuk mendapatkan pesanannya," kata polis.

Dalam kejadian yang berlaku pada ketika Singapura menguatkuasakan tindakan pemutus rantaian berikutan ancaman COVID-19, wanita yang gagal mengawal emosi itu memarahi petugas di restoran makanan segera berkenaan, sebelum bertindak melampau dengan meludah ke arah kaunter dan pekerja tersebut.


Wanita itu bagaimanapun sudah meninggalkan premis restoran berkenaan  ketika polis tiba.

Insiden tersebut telah dirakam oleh orang awam, sebelum ianya tular di media sosial negara tersebut. Rata-rata  netizen  menzahirkan rasa marah dengan sikap wanita berkenaan yang dilihat bukan sahaja tidak sopan, malah melakukan aksi yang boleh mencetus panik penularan wabak.

Polis republik itu juga menambah, mereka melihat kemungkinan wanita itu melanggar arahan langkah pemutus rantaian yang diumumkan Singapura untuk menangani wabak COVID-19.

Sekiranya didapati bersalah, wanita itu boleh didenda hingga S$2,000 (RM6,120).

No comments:

Post a Comment