Tuesday 21 April 2020

#PermatangPauh Aktif hasilkan kraf pada usia senja

Usia senja tidak menjadi penghalang buat pemilik susuk tubuh bernama Zainol Abidin Omar untuk terus menghasilkan kraf yang diukir menerusi hasil sentuhan tangan sendiri.

Biarpun telah melewati usia 74 tahun, Zainol yang sinonim dengan mata pencarian membuat ukiran kraf bagi bentuk feri, kereta api funikular Bukit Bendera dan Jambatan Pulau Pinang sejak 1986 itu tetap setia mengukir kesemua kraf berkenaan sehingga kini.

"Alhamdulillah sehingga hari ini saya masih membuat ukiran tersebut. Kraf berbentuk feri, Jambatan Pulau Pinang dan kereta api Bukit Bendera ini terus mendapat permintaan dan tempahan," katanya kepada Bernama, di sini.



Berkongsi saat ketika mula beralih arah ke bidang kraf seterusnya menjadikan ia sebagai punca rezeki bagi menyara keluarga tercinta, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, beliau adalah seorang pelukis dan kemudian belajar membuat ukiran menerusi seorang rakan dari Indonesia.

"Sebelum terlibat sepenuhnya dalam industri pembuatan kraf saya adalah seorang pelukis dan kemudian melihat seorang rakan dari Indonesia membuat ukiran. Saya tertarik dan terus belajar membuat ukiran. Ukiran yang saya hasilkan semuanya menggunakan kayu jelutong dan papan 'plywood'," katanya.

Zainol, yang menetap di Kampung Sama Gagah, Permatang Pauh di sini, berkata setiap ukiran itu mengambil masa antara empat hingga lima hari untuk disiapkan dengan harga antara RM250 hingga RM480.

"Jika dahulu pada 1986 harga bagi ukiran sebuah feri hanya RM12. Tetapi kini harga bagi ukiran feri mencecah RM250 manakala untuk Jambatan Pulau Pinang harganya antara RM450 hingga RM480. Syukur saban tahun ada saja yang menempah biasanya dari pihak agensi kerajaan, swasta dan syarikat korporat," katanya.

Kebanyakan hasil kraf nukilannya itu dijadikan cenderahati oleh pelbagai pihak yang menempah untuk diberikan hadiah kepada kenalan di dalam dan luar negara termasuk China dan Arab Saudi, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment