NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Data Bank Dunia menunjukkan perkapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak AS$10,830 (RM48,301) pada 2014 buat pertama kalinya telah melepasi purata semua negara di dunia AS$10,804 (RM48,185).
Menurut kenyataan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), Malaysia telah melepasi tahap penting dalam hala tujunya untuk menjadi negara maju.
Sebagai perbandingan, pada 2010 perkapita KDNK negara ialah AS$8,752 (RM39,033), kira-kira lapan peratus lebih rendah daripada purata dunia ketika itu AS$9,513 (RM42,427), katanya.
Pencapaian itu dinyatakan dalam laporan GSIAC pada mesyuarat tahunan ke-5 yang berlangsung di Manhattan, di sini pada Isnin. (Selasa di Malaysia)
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkapita KDNK Malaysia secara puratanya perlu ditingkatkan kepada AS$695 (RM3,099) setiap tahun dari 2015 hingga 2020 dengan unjuran untuk mencapai sasaran AS$15,000 (RM66,900) apabila negara menjadi negara berpendapatan tinggi kelak.
Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Tan Sri Zakri Abdul Hamid, berkata peningkatan itu selaras dengan unjuran dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) (RMK-11).
"RMK-11 mengunjurkan penggunaan dan pelaburan swasta akan memacu pertumbuhan perkapita keluaran dalam negara kasar sebanyak 7.9 peratus setahun," kata Zakri yang juga anggota Lembaga Penasihat Saintifik Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.
GSIAC ialah badan dianggotai pemimpin terkemuka peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang ekonomi, perniagaan, sains dan teknologi, diberi mandat untuk membantu negara mencapai perkapita KDNK US$15,000 -- tahap bagi status negara maju -- menjelang 2020.
GSIAC diuruskan bersama oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan New York Academy of Sciences (NYAS). - Bernama

No comments:
Post a Comment