MALAYSIA membuat komitmen terbaharu untuk menambah anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mempraktikkan sokongannya terhadap usaha badan dunia itu memperkukuhkan pasukan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata 280 anggota dan pegawai polis akan dihantar sebagai dua pasukan Unit Polis, 100 pegawai dan anggota sebagai Pegawai Polis Individu dan sebagai sebahagian Polis PBB.
"Satu batalion infantri (sebagai) kumpulan tempur untuk penghantaran cepat; satu unit kejuruteraan bagi membantu misi pasukan pengaman dan pembinaan keupayaan menerusi latihan di Pusat Pengaman Malaysia.
"Setakat ini, pusat itu sudah mengendalikan lebih 90 siri kursus untuk lebih 2,500 peserta tempatan dan antarabangsa dari 52 negara," katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak mengenai Pemeliharaan Keamanan yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebentar tadi.
Antara yang turut berucap ialah pemimpin dari China, India, Perancis, Itali, Sri Lanka, Sepanyol, Ghana, Thailand, Uganda, Turki, Rwanda, Uganda dan Senegal.
Najib berkata sejak 1960, Malaysia sudah menyertai 35 misi pengaman PBB, dengan penghantaran lebih 29,000 anggota tentera dan polis. Kini, Malaysia menyertai enam misi di Sahara Barat, Congo, Lubnan, Liberia, Abyei dan Darfur.
Katanya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN gembira kerana mengguna pakai konsep Kumpulan Siapsiaga Tentera ASEAN mengenai Bantuan Kemanusiaan dan Bencana.
Beliau berkata, ini bukan saja untuk tujuan penyelarasan penghantaran cepat ke kawasan krisis malah juga untuk menyatukan penubuhan tentera di bawah panji ASEAN demi kesejahteraan penduduk.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/85152
No comments:
Post a Comment