Wednesday 22 April 2020

Mohon izin polis jika mahu pulang dari kampung #PerintahKawalanPergerakan



Orang ramai yang pulang ke kampung halaman sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan kini ingin kembali ke rumah masing-masing boleh membuat permohonan bagi tujuan itu mulai Sabtu ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata permohonan boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi ‘Gerak Malaysia’ yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau memohon di balai polis berhampiran.

“Bagaimanapun perkara ini masih dalam kajian, jika pergerakan akan  bermula pun saya percaya mungkin selepas 1 Mei nanti...tak ada jaminan lagi, kerana setakat ini kita masih tunggu laporan mulai 25 April ini sebab setiap laporan ke balai polis atau dalam talian pun akan bermula pada 25 haribulan.

Waktu itu kita akan lihat seramai mana nak pulang dan sebagainya, barulah kita boleh merancang dan keluarkan SOP (Prosedur Operasi Standard) tertentu yang ketat dan sebagainya,” katanya dalam sidang harian mengenai PKP di sini, hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 865 individu semalam dan daripada jumlah itu 732 direman manakala selebihnya telah dibebaskan dengan jaminan polis .

Jumlah kumulatif ingkar PKP sehingga semalam pula ialah 17,735 individu, katanya.

Menyentuh mengenai berita palsu berkenaan Covid-19, beliau berkata PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 237 kertas siasatan setakat hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sejak 30 Mac lepas sebanyak 3,332 operasi sanitasi di 109 zon termasuk 30 di zon merah telah dilaksanakan.

“Semalam, sebanyak 292 operasi sanitasi meliputi 81 zon di 14 negeri termasuk 41 kawasan di Johor dan 33 kawasan Perak telah dilaksanakan. Operasi sanitasi semalam merangkumi 234 bangunan kerajaan,110 tempat awam,174 pusat perniagaan dan 21 pasar raya,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment