Wednesday 11 December 2019

#Georgetown KPDNHEP Pulau Pinang Rampas produk minuman tiruan



Nampak serupa tapi tiruan.Itu yang dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang terhadap produk minuman kesihatan wanita tiruan yang dijual di dua buah kedai di Kompleks Beli-Belah Bukit Jambul di sini petang semalam.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, Chin Ching Chung berkata, serbuan dibuat jam 2 petang oleh sembilan anggota penguatkuasa ekoran laporan yang dibuat oleh pemilik cap dagang minuman terbabit yang mendakwa lima pelanggannya mengalami muntah, mual dan sakit perut akibat minum produk berkenaan yang dibeli pada Ahad lalu.


Menurutnya, pemilik cap dagangan produk itu menerima aduan berkenaan melalui laman sosial sehingga menyebabkan nama baik syarikatnya terjejas.

Selain itu, dia juga bimbang sekiranya produk tiruan terus dijual berleluasa di pasaran dan akan mengakibatkan lebih ramai pengguna menjadi mangsa disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 57 botol minuman kesihatan wanita jenama Harum Malam yang disyaki tiruan dan dijual dengan harga yang lebih murah daripada produk asli iaitu RM18 sebotol dan asli RM32, "katanya pada sidang media di sini pagi tadi.

Ching Chung berkata, sekiranya lihat dari segi bungkusan tiada perbezaan ketara yang dapat dilihat pada produk tiruan itu namun warna bungkusannya sedikit pudar berbanding produk asli.

Selain itu, pihaknya mendapati terdapat beberapa perbezaan ketara diari segi bau, kepekatan produk berkenaan.

"Kita mendapati QR Code yang dilekat pada setiap botol juga berbeza selain pautan laman web yang ditulis juga tidak sama produk terbabit,"katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan produk kesihatan yang dijual murah di pasaran kerana ia hanya akan memberi kesan buruk kepada kesihatan pengguna.

Katanya, kesemua produk berkenaan yang dianggarkan bernilai RM 1,596 di sita dan pihaknya akan menghantar sampel minuman itu kepada Jabatan Kimia Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian
Wartawan: Iskandar

No comments:

Post a Comment