Wednesday 18 December 2019

#BayanLepas Lapangan terbang Pulau Pinang dinaik taraf lagi tampung 16 juta penumpang setahun

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merancang untuk menaik taraf lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) selepas menyelesaikan kerja-kerja penaiktarafan yang akan bermula tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Raja Azmi Nazuddin.

“Kami mahukan lapangan terbang ini dapat menampung 16 juta penumpang setahun,” katanya dalam laporan kepada "Free Malaysia Today"

“Penaiktarafan PIA untuk memenuhi kapasiti ini akan mengambil masa, perancangan dan sumber. Oleh itu, penting untuk kita memulakan dengan penaiktarafan pertama ini secepat mungkin. ”

Merujuk kepada kelulusan kerajaan Pulau Pinang untuk penaiktarafan segera PIA, beliau berkata MAHB bersedia untuk memulakan kerja awal tahun depan.


“Apabila selesai penaiktarafan nanti, PIA akan mempunyai 21 laluan penumpang ke pesawat dan dapat menampung 4,500 penumpang sejam. Ia akan mempunyai kapasiti untuk 12 juta penumpang, hampir 2 kali ganda kapasiti semasa.”

Lapangan terbang itu kini boleh menampung 13 laluan penumpang ke pesawat dan 6.5 juta penumpang setahun.

Raja Azmi berkata kerja-kerja penaiktarafan itu akan siap pada awal tahun 2024.

“Khabar baiknya ialah kerja-kerja penaiktarafan tidak akan menjejaskan penerbangan masuk dan keluar dari pulau itu,” katanya.

Kaunter daftar masuk akan dinaikkan daripada 61 kepada 78 dan kaunter imigresen akan ditingkatkan daripada 12 kepada 28.

Tempat letak kereta yang ketika ini boleh menampung 850 buah kereta, akan ditingkatkan kepada 1,300.


Raja Azmi berkata penaiktarafan lain turut dirancang kerana MAHB menyedari keperluan ketersambungan udara Pulau Pinang.

“Terdapat banyak minat daripada syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk terbang terus ke Pulau Pinang, dan penaiktarafan PIA akan membantu memudahkan lebih banyak trafik udara ke pulau itu.”

Beliau berkata ia juga akan meningkatkan ketersambungan ke bahagian lain negara ini, terutamanya koridor utara, dan seterusnya bertindak sebagai pemangkin ekonomi bagi negeri-negeri utara.

SUMBER

No comments:

Post a Comment