Tuesday 19 November 2019

#langkawi Mandi sendiri, budak mati lemas di kolam kapal persiaran

Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura ditemukan mati lemas di dalam kolam sebuah kapal persiaran yang sedang berlabuh di Jeti Star Cruise di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata kanak-kanak itu, Heng Kai Lun Alan, 10, bersama ibu serta seorang rakan ibunya sedang bercuti di dalam kapal itu yang baru tiba di sini dari Singapura petang semalam, sebelum dijadual berlepas ke Phuket, Thailand malam tadi.


Beliau berkata anggota polis Balai Padang Matsirat menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 7.30 petang mengenai kejadian lemas yang melibatkan seorang kanak-kanak di kolam mandi di atas kapal persiaran itu.


“Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai lemas ketika mandi bersendirian di dalam kolam di atas kapal persiaran berkenaan. Ketika kejadian terdapat ‘pool attendant’ dan ramai pengunjung lain juga sedang mandi, namun mereka gagal untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.


“Polis telah merakam percakapan saksi serta ‘pool attendant’ itu untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.


Mohd Iqbal berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk tindakan lanjut, dan kapal persiaran mewah yang membawa 3,000 penumpang termasuk anak kapal itu telah meneruskan pelayaran ke Phuket pada pukul 10.30 malam. — Bernama

No comments:

Post a Comment