Wednesday 20 November 2019

#Georgetown Maut bas dipandu rempuh dinding kedai



Lelaki maut selepas bas persiaran dipandunya terbabas dan merempuh dinding kedai menjual pakaian di simpang tiga Jalan Larut/Hutton, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa, Lee Kim Thai, 64, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa ketika itu membawa 20 penumpang warga China dari hotel di Jalan Sultan Ahmad Shah menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian bas dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dinding kedai terletak berhampiran simpang tiga.

“Siasatan mendapati semua penumpang tidak cedera serius dan kami tidak menerima laporan polis daripada mereka.

“Difahamkan, semua penumpang bas terbabit sudah berlepas pulang ke China dan kami meminta saksi kejadian itu supaya tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian pemandu bas terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:35 AM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment