Sunday 24 November 2019

DAP Perak tuntut janji hak milik kekal tanah kampung baharu



IPOH 24 Nov. - DAP Perak menuntut kerajaan negeri menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, beberapa janji lain yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa PRU-14 lalu juga akan dituntut.


"Saya sarankan dan mempunyai harapan yang tinggi janji pemberian hak milik kekal kepada kampung baharu Cina seharusnya bermula akhir tahun ini sempena Tahun Baru Cina dan satu keputusan wajar perlu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kita cukup yakin Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan mengecewakan rakyat negeri Perak dan menyanjung tinggi komitmen yang ditunjukkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen DAP Perak di sini hari ini.

Kor Ming turut meminta lima ahli exco kerajaan negeri Perak dari DAP supaya membantu Ahmad Faizal melaksanakan janji PRU-14.

Menurutnya, janji yang diumumkan pada PRU-14  bukan janji DAP sebaliknya ia adalah janji PH yang perlu ditunaikan segera.

"Apatah lagi selepas rakyat menghantar isyarat jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan kekalahan besar calon PH dengan lebih 15,000 majoriti undi," katanya.

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal ketika menggulung perbahasan pada Sidang DUN Perak berkata, kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Faizal menjelaskan, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung baharu hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun. - Perak Gazette

1 comment: