Saturday 26 October 2019

#BatuKurau Mayat mangsa runtuhan tanah dijumpai


 Mayat seorang lelaki yang terperangkap dalam runtuhan tanah di Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi dekat Kampung Teras Ijok di sini berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba pada pukul 10.26 malam, semalam.

Mayat Hanudin Bahazim, 60, dikeluarkan selepas lebih lima jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan setelah pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.33 petang.


Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur rumahnya yang musnah akibat runtuhan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintenden Mohd. Sabri Saad berkata, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa segera dijalankan dengan melibatkan penyertaan 104 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan.





Katanya, dua buah jengkaut milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penduduk kampung turut digunakan bagi mengesan mangsa.

"Mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 10.26 malam namun disahkan telah meninggal dunia. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, mayat mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter dalam runtuhan tanah tersebut.



Katanya, anggota berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa ekoran keadaan hujan selain dikesan terdapat pergerakan tanah di kawasan kejadian. 

"Proses pemantauan sedang dilakukan di lokasi runtuhan dan orang ramai khususnya penduduk kampung dinasihatkan agar tidak mendekati kawasan tersebut bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya.-Perak Gazette

Gambar ihsan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak

No comments:

Post a Comment