Tuesday 30 April 2019

USM dapat lebih banyak dana dari Putrajaya berbanding Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Seorang Adun Pulau Pinang hari ini menggesa Putrajaya menambah peruntukan untuk negeri ini kerana sebuah universiti tempatan di negeri itu mendapat lebih banyak dana daripada kerajaan negeri secara keseluruhan.

Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) berkata, Universiti Sains Malaysia menerima RM525 juta peruntukan tahun lalu, lebih banyak daripada RM195.1 juta diberikan kepada kerajaan negeri dalam bentuk geran tahunan persekutuan antara 2017 dan Jun 2018.

“Jika anda tambah peruntukan selama setahun setengah, jumlah itu masih kurang daripada apa yang USM dapat. Adakah ini adil kepada rakyat Pulau Pulau yang rajin dan antara pembayar cukai paling ramai di negara ini?



“Tanpa ragu-ragu, Pulau Pinang ialah penyumbang terbesar dari segi cukai dan KDNK (keluaran dalam negara kasar) untuk negara.




“Saya berpendapat kerajaan persekutuan patut menambah peruntukan dan geran tahunan kepada Pulau Pinang,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Dari segi geran tahunan persekutuan, katanya, Kedah menerima RM373.3 juta manakala Perak menerima RM657.1 juta dan Perlis RM126 juta.

Gooi berkata, daripada RM6.78 bilion geran diberikan pada 2016, Pulau Pinang hanya mendapat 3.18% berbanding 13 negeri lain.

Beliau turut menggesa Pulau Pinang memulakan sistem perkhidmatan awam sendiri berbanding sistem persekutuan yang sedang diamalkan.

Katanya, majoriti penjawat awam Pulau Pinang ialah kakitangan persekutuan dari Jabatan Perkhidmatan Awam, berbeza dengan negeri Melayu tidak bersekutu seperti Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang mempunyai perkhidmatan awam sendiri.

Disebabkan kebanyakan kakitangan awam di Pulau Pinang daripada persekutuan, katanya, ramai bakat tempatan diambil negeri lain yang menyebabkan ketandusan modal insan.

Katanya, penjawat awam persekutuan memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan dan mungkin tidak berminat terhadap kepntingan rakyat Pulau Pinang.

“Pertikaian besar berlaku apabila kerajaan persekutuan melantik seorang setiausaha negeri pada 2010 tanpa rundingan atau persetujuan kerajaan pulau Pinang ketika itu.

“Saya juga dengar Pulau Pinang ialah tempat baik untuk latihan. Apabila mereka belajar semuanya, mereka dipindahkan ke negeri lain menyebabkan kami kehilangan orang yang memahami isu negeri ini dan akhirnya hilang mereka yang berbakat.”

Untuk mengatasi masalah ini, katanya, sebuah jawatankuasa bebas perlu ditubuhkan.

Katanya, jawatankuasa itu juga boleh mengkaji isu seperti peruntukan persekutuan disalurkan dengan lebih berkesan.


Gooi mengakui ia memerlukan masa kerana penurunan kuasa memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Itu sebabnya sebuah jawatankuasa bebas diperlukan. Ini mungkin mengambil masa, tetapi kita boleh mulakan sekarang.

“Kita mempunyai ramai individu bijak di Pulau Pinang dan saya yakin ini boleh dilaksanakan.”

FMT

No comments:

Post a Comment