Tuesday 30 April 2019

Syarikat bina Lapangan Terbang Changi akan ketuai projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang dinanti-nantikan akan diketuai sebuah konsortium Singapura yang membina Lapangan Terbang Changi di republik itu, sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata Consortium CPG Consultants Pte Ltd (CPG) dan AHS Architects Sdn Bhd dilantik sebagai perunding projek itu menerusi tender terbuka Malaysia Airports Holdings Berhad pada 15 Februari lalu.

Katanya, kerja pembinaan dijadualkan bermula Jun 2020 dan dijangka mengambil 3 tahun untuk disiapkan.

Chow bagaimanapun tidak mendedahkan kos projek itu, tetapi berkata kapasiti PIA akan dinaikkan daripada 6.5 juta penumpang setahun ketika ini kepada 12 juta.




Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang kapasiti PIA akan ditingkatkan kepada 16 juta penumpang setahun, dengan projek itu dibiayai melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) pada kos RM1.2 bilion.

Jumlah penumpang di PIA sudah melebihi kapasitinya apabila ia mencecah 7.79 juta penumpang tahun lalu.

Menurut laman web CPG, syarikat berpangkalan di Singapura itu terbabit dalam pembinaan Lapangan Terbang Changi pada 1970-an. Ia memperbesarkan Terminal 1 dan 2 sedia ada serta membina Terminal 3 pada 2008.

CPG ialah Jabatan Kerja Raya Singapura dari 1999 hingga 2003 sebelum diperbadankan.

Chow berkata, rancangan Kedah membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim akan membawa impak negatif kepada Pulau Pinang berdasarkan 2 laporan kebolehlaksanaan yang dilihat kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, rancangan Kedah menggunakan Lapangan Terbang Kulim untuk tujuan kargo semata-mata mungkin tidak berjaya kerana terminal kargo Pulau Pinang sudah mencukupi dan mempunyai ruang untuk pembesaran.

“Pulau Pinang berpendapat Kementerian Pengangkutan perlu meneliti perkara ini sekali lagi dan kajian lebih terperinci perlu dilaksanakan supaya ia menyeluruh dan dan menguntungkan semua pihak.

“Setiap negeri mempunyai hak untuk pembangunan, tetapi ini dekat dengan Pulau Pinang. Satu keadaan menang-menang perlu dicapai antara kami dan Kedah.”

Baru-baru ini, Kedah meluluskan pembinaan sebuah lapangan terbang baru di Kulim pada harga RM1.6 bilion yang akan dibiayai melalui PFI.

Menteri Besarnya, Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata, sebuah syarikat tujuan khas (SPV), KXP Airport City Holding Sdn Bhd, yang mula beroperasi bulan lalu akan mengkaji projek itu.

No comments:

Post a Comment